SEJARAH PENJARA MALAYSIA
Pengenalan
Sistem penjara sudah wujud semenjak Zaman Kesultanan Melayu lagi. Pesalah yang melakukan jenayah akan dipenjarakan mengikut hukuman yang ditetapkan oleh pembesar negeri. Pada kebiasaannya, banduan diletakkan di sesuatu bangunan dalam satu tempoh waktu yang panjang bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.
Langkah memberikan hukuman yang berat ini bertujuan membendung penentangan masyarakat tempatan kepada pembesar dan pemerintah, sekaligus memastikan keamanan negeri dipelihara dengan baik. Walau bagaimanapun, sejarah penjara moden di Malaysia bermula secara rasmi pada abad ke-18 seiring dengan perkembangan Syarikat India Timur British (EIC) yang membawa mandat dari London.
Pembentukan Sistem Penjara
Sistem pemenjaraan moden bermula dengan penubuhan Penal Settlement di Bangkahulu (1787) dan kemudiannya di Pulau Pinang. Kapten Francis Light menamakan Pulau Pinang sebagai Prince of Wales Island pada 11 Ogos 1786.
Fungsi Banduan India
Banduan dari India memainkan peranan kritikal sebagai sumber tenaga buruh murah. Mereka dikerahkan untuk membina infrastruktur utama tanah jajahan seperti pelabuhan, jalan raya, jalan keretapi, dan bangunan kerajaan.
Menjelang abad ke-19, British menguatkuasakan Undang-Undang Kesiksaan Pengangkutan (Penal Transportation). Langkah ini membolehkan migrasi paksaan dilakukan secara besar-besaran dari India ke Negeri-Negeri Selat untuk memenuhi kepentingan ekonomi British. Kesannya, pengurusan penjara awal lebih berfokus kepada buruh kasar berbanding pemulihan disiplin yang ketat.